18 August 2010

Nota Ramadhan

Assalamualaikum dan salam perjuangan.

Bismillahirrahmanirrahim. Selamat berpuasa dan selamat mempertingkatkan amalan di bulan ramadhan, bulan keampunan. Semoga kita senantiasa dilimpahi rahmat daripada-Nya.

SayangiKedah, sebuah platform yang diwujudkan untuk menyemai kasih sayang, cinta dan nilai  bukan sahaja terhadap  negeri, malah kepada remaja utamanya. Dekad ini, kita telah lihat bagaimana kelakuan 'luarbiasa' remaja, dengan budaya yang menyimpang daripada nilai nilai yang sepatutnya. Dengan kelakuan jijik di pusat rekreasi, menjadi superhero di jalanan, melakukan vandalisme, salahguna dadah sehinggakan ada yang sanggup membunuh zuriat sendiri. Pembawakan buruk ini sedikit sebanyak telah menjejaskan nama umat Islam serta nama negeri yang kita cintai.

Gejala ini telah merunsingkan pelbagai pihak. Pelbagai penyelesaian dicari, tuding menudinglah antara satu sama lain. Atas keprihatinan kami, melalui SayangiKedah kami akan mendekati golongan ini dengan cara kami tersendiri merentasi politik,sosial, sukan, ekonomi dan budaya melalui kuasa multimedia. Kami akan menumpukan kepada minat, trend serta fenomena semasa lantas menjiwai mereka secara mendalam dari sisi yang lain.

Selain itu, satu perkara lagi yang merunsingkan masyarakat adalah isu alam sekitar, mengenai tabiat buruk segelintir masyarakat yang rakus. Mereka melakukan pencemaran tanpa menghiraukan hak generasi masa hadapan. Firman Allah yang bermaksud, “Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka (akibat) sebahagian dari perbuatan mereka, agar mereka kembali (kejalan yang benar).” (maksud dari Surah AR-Ruum ayat 41).

Ayat ini mengingatkan kita mengenai kerosakan yang kita lakukan  dan balasan yang bakal menimpa masyarakat yang masih lagi tidak sedar akan keingkaran yang dilakukan. Inshaallah pada masa hadapan juga, kami akan merancang beberapa projek yang memberi impak kepada kelestarian alam serta menyelamatkan bumi negeri dari terus dimamah, dijamah diperlakukan secara tidak bertanggungjawab.

Dua isu daripada beberapa isu yang akan diberi perhatian oleh kami dalam merangka program/projek pada masa hadapan untuk warga negeri. Baiklah, kita semua tahu, bagaimana peranan teknologi multimedia serta kekuatan elemennya dalam proses mengubah mindset serta nilai dan juga tingkahlaku manusia. Nilai nilai Al-Quran akan cuba kami serapkan dengan berkesan  melalui pengamalan kandungan kreatif.

Sebagai sebahagian daripada anak muda berjuang atas kecanggihan teknologi, kami akan berusaha mengubah minda masyarakat serta menyemai perasaan cintakan dan sayangkan tanah negeri dari dicemari disamping perjuangan memperkembangan bakat kreatif anak-anak negeri. Kami sedar usaha ini begitu kecil. Kami mohon kepada seluruh warga negeri agar panjatkan doa semoga projek ini berjalan lancar dan mampu mencapai matlamat yang digariskan. Selamat beramal dibulan mulia. Wassalam.

Semarakkan Perjuangan...

YANG IKHLAS,
MOHD RAZIF BIN ABDUL RAZAK
PENGARAH PROJEK,
PEMBANGUNAN KOMUNITI SAYANGIKEDAH.

0 comments:

Iklan

Popular Posts