23 July 2012

Gulai kawah Baling laris di bulan puasa

Gulai kawah campuran rias batang pisang dengan daging atau tulang lembu sudah tidak asing lagi kepada masyarakat di Baling.

Peniaga gulai kawah, Malik Mat Khir, 45, berkata dia terpaksa mendapatkan rias batang pisang setiap hari daripada sekurang-kurangnya 10 batang pokok untuk dimasak bersama daging cincang atau tulang lembu.

Malik yang berpengalaman memasak gulai kawah hasil belajar daripada tukang masak kenduri kahwin di Baling memberitahu bukan semua gulai kawah mampu menarik minat dan selera pembeli.

Katanya warna kuahnya yang kekuningan dan cair mampu menarik minat dan selera pembeli.

Malik berkata ramuan rempah untuk membuat gulai kawah adalah daripada jenis serbuk kari yang sesuai yang tidak terlalu pedas dan tidak berkuah pekat.

Malik berkata sejak dua hari berniaga di pasar Ramadan pekan Baling, setiap petang lebih 300 bungkus gulai kawah dijual kepada pelanggan.

"Rias batang pisang adalah daripada batang pisang jenis kebatu atau pisang awak.

"Rias pisang kebatu dan pisang awak sesuai dicampur dengan daging untuk gulai kawah kerana tidak mudah lembik dan rasanya juga sedap dan manis," katanya.

Sejak 3 petang, Malik akan mula menumis bahan gulai kawah di kawasan dia berniaga dan mula menjualnya seawal 5 petang dengan harga serendah RM3 sebungkus.

-Bernama

http://www.malaysiakini.com/news/204391

0 comments:

Iklan

Popular Posts